GURU PERLU BIJAK SESUAIKAN DIRI
05 Jul 2012, 11:22 AM | Berita Semasa
|
MURID dari beberapa sekolah rendah dan menengah bergambar
kenangan bersama Tokoh Guru 2012 daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas
membuat persembahan di Aeon Seberang Jaya City ,Bandar Baru Perda Bukit
Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Oleh ABD RAZAK OSMAN
GURU disaran suapaya memahami bidang tugas masing-masing
supaya menjadi pendidik yang hebat dan disanjung masyarakat.
Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, guru baru mampu menjadi hebat dan berjaya jika mereka sentiasa memahami bidang tugas sebagai penjawat awam. "Mereka perlu menyesuai diri di mana-mana sahaja dan jangan menjadi duri dalam daging semasa menjalankan tugas masing-masing kerana ia boleh merosak diri sendiri," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru 2012 peringkat daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Aeon Seberang Jaya City Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini. Majlis itu diadakan bagi meraikan empat orang bekas pesara guru yang dipilih menerima Anugerah Tokoh Guru 2012 bagi daerah berkenaan. Penerimanya terdiri daripada bekas Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum di Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Ibrahim Mohamad; bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keow Kuang Bukit Kecil, Pulau Pinang, Tay Swee Aun; bekas Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Kampung Baru Bukit Mertajam, Achee a/p Subramaniam dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Perahu, Abdul Wahab Abdul Rauf. Ibrahim Bagi memeriahkan majlis Sambutan Hari Guru itu, pelajar dari beberapa sekolah rendah dan menengah di daerah SPT membuat persembahan seperti sajak, nyanyian, tarian dan boria. |
2.0
PENGENALAN KEPADA ISU
Artikel yang bertajuk “Guru Perlu Bijak
Sesuaikan Diri” ini diambil dari laman web keguruan yang mencadangkan bahawa
semua guru yang bakal ditempatkan tidak kira di mana sahaja agar dapat
menyesuaikan diri dengan baik. Kenyataan ini ditujukan khas kepada lapisan
guru-guru baru yang akan ditempatkan setelah berakhirnya kursus ijazah
perguruan dari Institut Perguruan. Mereka akan bergelar sebagai seorang guru
baru setelah menjejakkan kaki di sekolah dan bertanggungjawab dalam
melaksanakan tugas sebagai seorang penjawat awam.
Setiap tahun lebih 15,000 guru baru atau
lebih dikenali sebagai guru permulaan atau guru novis akan ditempatkan di seluruh
Malaysia. Sesetengah daripadanya mendapat manfaat daripada latihan yang
berkualiti. Mereka juga kelihatan berkompetensi
dan berkeyakinan untuk membantu murid belajar subjek yang diajar. Bagaimanapun,
masih ada ramai yang kurang bersedia menghadapi cabaran di bilik darjah.
Walaupun pelbagai alasan diberikan mengenai mengapa masih ada di kalangan guru
permulaan yang tidak bersedia, kita masih terus mengkaji mengenai kepentingan
pengajaran yang berkesan dan apa yang dibuat oleh guru yang efektif. Sebaliknya,
kita seharusnya mencari punca yang menjerumus mengapa masih ada guru yang belum bersedia
walaupun latihan yang berkualiti telah diberikan selama lima tahun setengah
berada di Institut Perguruan.
Merujuk pada kenyataan yang disampaikan
melalui artikel tersebut, seorang guru haruslah memahami bidang tugas
masing-masing. Guru juga perlu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru
yang mereka hadapi. Abd. Kadir Hj. Abd.Wahab (2001) mendefinasikan guru merupakan
golongan manusia yang boleh mempengaruhi perkembangan personaliti, mental, dan
fizikal setiap manusia. Peranan guru adalah sebagai seorang pengurus, pendidik,
penyelia, kaunselor, penyelidik, dan penilai di sekolah. Guru juga perlu
mempunyai sifat-sifat peribadi yang berkualiti. Kualiti peribadi ini
termasuklah sifat mesra, adil, tegas, berdidikasi, berwibawa dan bertoleransi.
Oleh yang demikian, seseorang guru yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia atau Jabatan Pendidikan Negeri mestilah bersedia sepenuhnya untuk
menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah,
menengah, dan tinggi.
3.0 PERKEMBANGAN HUJAH MENGENAI ISU
Artikel
ini juga mengutamakan peranan guru baru atau guru permulaan agar bersedia dan
cepat menyesuaikan diri dengan bijak di sekolah. Guru permulaan merujuk kepada
guru baru yang dikategorikan sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) dalam
Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 1/1987. Guru permulaan ditempatkan di sekolah
setelah tamat menjalani latihan keguruan sama ada di Institut Perguruan Guru
atau Institusi Pengajian Tinggi. Guru permulaan perlu berkhidmat selama satu
hingga tiga tahun sebelum boleh dipertimbangkan untuk disahkan dalam jawatan
sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah pada Gred DG41.
Jika seorang guru baru tidak dapat
menyesuaikan diri dengan segera terhadap persekitaran baru mereka, guru
tersebut pasti mengundang pelbagai masalah. Pelbagai kajian telah dijalankan
terhadap guru baru yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan segera. Hasilnya,
mereka akan mengalami pelbagai masalah yang boleh mengganggu kerjaya mereka
sebagai seorang penjawat awam. Bukan itu sahaja, murid juga akan menerima nasib
yang sama sekiranya seorang guru tidak bersedia untuk mengajar dan mendidik
mereka. Melalui kajian yang dijalankan, pelbagai pendangan telah dikemukakan
terhadap guru baru yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan bijak. Antaranya
adalah seperti:
“Majoriti
guru yang mengajar pada beberapa tahun permulaan mengalami pelbagai masalah
dalam pengajaran mereka seperti mengurus murid, menjalin hubungan yang baik di
dalam bilik darjah, menguasai isi kandungan pelajaran, merancang aktiviti yang
melibatkan murid dan membantu mereka belajar, memantau pemahaman murid dan
menjadi sebahagian daripada struktur sosial sekolah.”
Kenyataan di atas dinyatakan oleh Veenman, 1984; Knowles & Cole, 1994; Calderhead &
Shorrock, 1997. Berdasarkan pandangan yang dinyatakan, dapat dirumuskan bahawa
guru baru yang tiada pengalaman haruslah berusaha untuk memperbaiki diri dan
meningkatkan mutu pengajaran. Seorang guru haruslah sentiasa bersedia dan perlu
merujuk kepada guru yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan bilik darjah
dan merancang rancangan pengajaran harian. Walaupun latihan telah diberikan
sebelum menjadi seorang guru baru, suasana dan keadaan di sekolah adalah sangat
berbeza. Seorang guru harus cepat mempelajari suasana baru dan bersedia untuk
mempelajari bagaimana untuk mengendalikan pelbagai masalah dan tugasan yang
diterima.
Antara beberapa pandangan
lain yang dikemukakan hasil dari kajian yang telah dijalankan terhadap guru
baru adalah seperti:
·
Abu Bakar (1994)
mendapati bahawa guru permulaan lemah dalam hal pengurusan kokurikulum dan
sukan. Sementara di dalam kelas, mereka kurang yakin mengawal disiplin kelas
dan tidak dapat mengamalkan teori pedagogi yang dipelajari. Seterusnya, mereka
didapati kurang mahir bersosialisasi dan menggunakan pusat sumber.
·
Jamali (1993) dalam kajiannya ’Masalah Guru
Permulaan Dalam Bidang Kokurikulum Di Sekolah’ menunjukkan bahawa guru lepasan
Maktab Perguruan Kinta, Ipoh yang mengajar di sekolah rendah menghadapi masalah
yang paling utama ialah dalam ”Rumpun Aktiviti Kokurikulum’ diikuti dengan
keperibadian murid, teknik pelaksanaan kokurikulum, alatan yang digunakan dan
pengurusan kelas.
·
Kajian Mohd Nasir (1994) pula mendapati guru
novis di sekolah rendah di Negeri Sembilan menghadapi masalah yang paling utama
iaitu keperibadian murid, diikuti dengan kegiatan kokurikulum, kaedah
pengajaran, pengurusan bilik darjah dan bahan pengajaran. Kajian ini juga
mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan masalah antara guru novis lelaki
dengan guru novis wanita.
·
Kajian oleh Tan Hui Leng (2005), mendapati
bahawa kebanyakan guru novis dibiarkan mencari sendiri pembimbing yang sudi
membantu mereka. Guru novis kerap kali dibiarkan sehingga mereka ’sink or swim’
(Renard 2003) dan ia mengakibatkan berlakunya keruntuhan moral di kalangan guru
novis
Berdasarkan semua pandangan yang dinyatakan, jelas
menunjukkan yang guru baru akan mengalami pelbagai masalah jika tidak dapat menyesuaikan
diri dan tidak berusaha untuk memperbaiki diri. Selain itu, guru baru atau guru
novis adalah juga seorang pengurus dan jika tidak memanfaatkan waktu, tenaga,
dan ketrampilan sebaik-baiknya, mereka tidak akan mampu menghadapi tekanan,
cabaran serta desakan tugas.
Seorang guru baru perlu berusaha untuk menjadi
seorang guru yang lebih berkemahiran dan berkualiti. Dengan menjadi seorang
guru yang berkemahiran dan berkualiti, mereka akan dapat memupuk diri agar
dapat menjadi seorang guru yang lebih bersedia.
Seorang guru yang berkualiti haruslah berilmu pengetahuan yang tinggi. Ini
kerana guru akan memberi dan menyampaikan maklumat kepada pelajar. Cabaran pada
hari ini memerlukan guru yang memiliki pelbagai lmu pengetahuan dan kepakaran
dalam mendidik murid agar seorang guru dapat menjawab segala persoalan dan
menunjukkan kemahiran dalam melakukan demonstrasi terhadap topik yang diajar.
Selain daripada itu, guru permulaan juga
perlu menguasi kemahiran penggunaan IT. Kemahiran dalam teknologi maklumat ini
perlu dikuasai sebagai pemangkin kearah menghasilkan pendidikan yang cemerlang
dan berkualiti. Perkembangan sains dan teknologi menyebabkan teknologi maklumat
mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Untuk kekal sebagai guru berkualiti,
guru baru hendaklah berusaha untuk sentiasa menggunakan aplikasi IT dalam
pengajaran dan pembelajaran. Usaha ini memerlukan mereka untuk sentiasa mengemaskini
kemahiran menggunakan komputer.dengan menghadiri kursus- kursus IT dan juga
dengan sentiasa bertanya kepada mana-mana rakan guru yang lebih mahir dalam
bidang ini. Kebolehan ini membolehkan guru mengajar menggunakan teknologi
terkini dan akan mencapai mutu pengajaran yang baik.
Seorang guru permulaan juga perlu
berusaha untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Hal ini juga termasuk dalam
ciri-ciri guru yang berkualiti. Guru perlu menguasai Bahasa Inggeris dengan
baik kerana perkembangan sistem pendidikan negara masa kini memerlukan para
guru untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Penggubalan semula KBSR dan
KBSM untuk pelaksanaan pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris juga
merupakan satu faktor utama mengapa penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting
kepada semua guru. Untuk sentiasa mengekalkan penguasaan Bahasa Inggeris,
seorang guru baru perlu selalu mempraktikkan dengan menggunakan Bahasa Inggeris
untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja dan para pelajar
Guru permulaan juga perlu mempunyai daya
kreativiti dan inovatif iaitu kebolehan untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu
idea baru, serta kebolehan mengubahsuai sesuatu idea menjadi lebih menarik. Kebolehan
intelek akan kekal di dalam diri sekiranya seorang guru baru sentiasa
menanamkan sikap ingin tahu. Sifat ingin tahu akan mendorong mereka untuk
mempelajari dan menyesuaikan diri dalam dunia pendidikan yang sering
berubah-ubah, baik dari segi sukatan kurikulum, mahupun kaedah mengajar. Gemar
membaca membolehkan seseorang guru sentiasa menambah pelbagai ilmu pengetahuan
mereka. Pembacaan yang meluas dalam pelbagai bidang memberi keyakinan kepada
guru untuk menyampaikam pengajaran dengan berkesan. Sifat suka membaca amat
penting untuk meningkatkan kualiti professional keguruan.
Guru yang berkualiti akan sentiasa menjaga
kesihatan diri. Kesihatan yang baik adalah penting agar dapat menjalankan tugas
sebagai guru yang berkualiti sehingga tamat tempoh perkhidmatan. Seorang guru
baru hendaklah mengamalkan cara hidup yang sihat bagi mengekalkan kesihatan
yang baik. Tubuh badan yang sihat tanpa penyakit memberi kelebihan kepada
mereka untuk berkhidmat dengan bertanggungjawab dan berkesan. Guru juga perlu
mengamalkan pemakanan yang sihat. Tubuh badan yang sihat dan cergas akan
menghasilkan individu yang tajam pemikirannya dan ini akan membantu guru dalam
menjalankan tugas dengan berkesan. Sebagai contoh, seorang guru Pendidikan
Jasmani perlu menunjukkan keperibadian yang bersih dan sihat. Guru yang sihat
akan dapat menunjukkan contoh kepada murid mengenai kepentingan hidup sihat dan
cergas. Jika guru tersebut tidak mengamalkan hidup sihat, bagaimana untuk
beliau menjalankan pengajaran dan melakukan pelbagai kemahiran yang sedia ada.
Oleh itu, adalah penting untuk semua guru menjaga kesihatan diri agar dapat
menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.
Sebagai seorang guru permulaan, kita
hendaklah sentiasa menunjukkan penampilan diri yang baik. Hal ini adalah kerana
kita akan sentiasa diperhatikan oleh
anak didik untuk dijadikan contoh tauladan. Cara berpakaian, gaya tutur kata
dan tingkah laku kita mestilah menampakkan ketrampilan dan kewibawaan kita
sebagai seorang guru permulaan yang berkualiti. Seorang guru perlu sentiasa
berpakaian kemas bagi mengekalkan imej sebagai seorang guru yang berkualiti. Di
samping itu, guru baru juga mesti sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku
agar menjadi contoh yang baik kepada pelajar. Jika guru baru tersebut tidak
dapat menunjukkan tingkah laku yang baik, bagaimana untuk beliau mendidik
anak murid agar menjadi seorang murid yang dapat menunjukkan keperibadian yang
tinggi dan semangat belajar yang baik. Adalah penting bagi guru agar sentiasa
menjaga adab mereka sebagai seorang guru tidak kira samada di dalam mahupun di
luar sekolah.
Selain daripada itu, guru baru perlu memiliki
kemahiran bercorak fizikal iaitu kemahiran berkomunikasi dan kemahiran fizikal.
Kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran menyampaikan kata-kata semasa berhubung
dengan pelajar, ibubapa, masyarakat dan pihak pengurusan sekolah. Seorang guru
baru seharusnya memiliki kemahiran interpersonal dan intrapersonal yang tinggi
agar tidak gugup ketika berhadapan dengan ibubapa, pelajar mahupun segelintir
masyarakat. Di samping itu, adalah menjadi keutamaan bagi seorang guru untuk
bijak dalam berkata-kata dan mempunyai keberanian yang tinggi untuk
menyampaikan kata-kata kepada orang ramai. Kemahiran fizikal pula adalah seperti
mahir dalam sesuatu aktiviti sukan dan mana-mana unit beruniform bertujuan
untuk melatih pelajar melibatkan diri dalam kokurikulum yang penting untuk
pembentukan jati diri pelajar. Jika seorang guru tidak mempunyai kemahiran yang
tinggi, mereka tidak akan dapat menyampaikan pengajaran dengan berkesan kerana
tidak dapat menyampaikan isi pengajaran dengan lebih mendalam.
Guru baru juga haruslah mempunyai pemikiran
yang positif dalam menjalankan tugasnya iaitu menganggap pergi ke sekolah
sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai suatu ibadah tanpa
sebarang alasan. Adalah penting bagi seorang guru untuk memiliki sahsiah atau
tingkah laku yang baik dan terpuji. Di antara ciri-ciri seorang guru bersahsiah
yang baik ialah menjalankan tugas tepat pada masanya, ikhlas dalam menjalankan
tugas, menghormati rakan guru serta pelajar, rajin dan lain-lain. Guru juga
perlu memiliki pegangan agama yang kukuh. Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan
Negara, agama diletakkan di tempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat
akan menyebabkan seseorang guru itu menjadi bertanggungjawab terhadap tugasnya,
berilmu, berprinsip serta amanah.
Merujuk kembali pada artikel yang diberikan,
seorang guru permulaan perlu memahami bidang tugas masing-masing. Sebagai
seorang guru, mereka seharusnya mengetahui pelbagai tugas dan tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan agar dapat menyediakan diri ke arah yang positif. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81
yang bertarikh 12 September 1981 menyebut bahawa semua Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah
sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah bermula. Bagaimanapun, guru
bertugas harian perlu hadir di sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi. Adalah menjadi tanggungjawab para
guru untuk mengamalkan ketepatan masa iaitu sepanjang waktu bertugas di
sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah
untuk mengajar dan masa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah.
Ketepatan masa juga bermakna seseorang guru baru
hendaklah sentiasa mengikuti jadual pengajaran mereka dan tidak dibenarkan untuk
meninggalkan kelas atau pun kawasan sekolah sehingga tamat waktu persekolahan.
Berikut dinyatakan beberapa bidang tugas guru yang
perlu dipatuhi tidak kira sebagai seorang guru baru atau guru lama agar
tanggungjawab mereka sebagai seorang guru dapat diutamakan:
Kepatuhan
Tugas:
·
Semua
guru dan kakitangan hendaklah menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba
di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tanda tangan.
·
Guru
dan kakitangan tidak dibenar meninggalkan kawasan sekolah dengan tidak mendapat
keizinan Guru Besar terlebih dahulu.
·
Mereka
yang datang lewat hendaklah berjumpa dengan Guru Besar dengan memberi sebab
musabab kelewatan itu.
·
Sekiranya tidak dapat menghadirkan diri di
sekolah kerana kecemasan atau jatuh sakit dan kemalangan, mereka perlu
menghubungi pihak sekolah. Mereka juga dikehendaki mengemukakan sijil sakit
kepada Guru Besar apabila kembali bertugas semula.
·
Guru-guru
tidak dibenarkan meninggalkan bilik darjah semasa mengajar kecuali dengan
mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dahulu.
·
Kehadiran
semua guru adalah wajib semasa kegiatan dan upacara rasmi sekolah seperti Hari
Sukan Tahunan, Hari Penyampaian Hadiah, Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru
untuk mengawasi para pelajar, melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di
samping memberi sumbangan bakti dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan
upacara tersebut.
·
Para
guru yang telah ditetapkan untuk mengawasi kegiatan kokurikulum mesti
menghadirkan diri. Sebarang kesulitan yang berbangkit disebabkan oleh ketiadaan
guru pengawas adalah tanggungjawab guru itu sendiri.
Tugas
Akademik Guru:
·
Guru
hendaklah menunjukkan sikap profesional dan budaya kerja yang bermutu inggi.
·
Kerja
rumah hendaklah diberikan kepada pelajar berdasarkan garis panduan yang
diberikan oleh Guru Besar atau guru kanan masing-masing. Semua kerja rumah
hendaklah diperiksa dengan teliti.
·
Ketua
jabatan atau guru kanan mata pelajaran diberi kuasa untuk menyemak dan
menentukan bahawa buku rampaian, buku kerja dan lain-lain latihan diperiksa
dengan penuh teliti.
·
Pemeriksaan
buku tidak boleh dilakukan semasa mengajar di dalam kelas kecuali guru itu
mengawasi kerja pelajar di meja pelajar itu sendiri.
·
Guru
yang ditugaskan sebagai guru ganti hendaklah mengisi waktu itu dengan pelajaran
yang difikirkan perlu dan ini merupakan juga tugas rasmi guru itu. Pengajaran
itu mesti diisikan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada pelajar.
·
Biasanya
guru mempunyai waktu untuk mengajar sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual
waktu masing-masing. Waktu tidak mengajar, terluang/rehat di sekolah adalah
dikira masa bekerja. Guru Besar boleh mengarahkan guru-guru menggunakan masa
itu untuk menggantikan guru yang tidak hadir.
·
Guru
perlu membuat persediaan mengajar seperti membaca buku tambahan, menulis buku
ringkasan mengajar, menyediakan alat bantuan mengajar dan memeriksa buku
latihan pelajar.
·
Guru
juga boleh mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah. Mereka
juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain tugas yang
difikirkan perlu atau diarahkan oleh pihak sekolah.
Buku
Ringkasan Mengajar:
·
Kementerian
Pendidikan telah menetapkan peraturan mengenai pengisian Buku Rekod Mengajar.
Peraturan ini hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya.
·
Dalam
Buku Rekod Mengajar itu mesti mengandungi salinan jadual waktu persendirian
termasuk analisisnya, salinan sukatan pelajaran, salinan kertas soalan
peperiksaan dan keputusan peperiksaan bagi tiap-tiap kelas yang diajar oleh guru
itu.
·
Pada
tiap-tiap hari hujung minggu, Buku Rekod Mengajar yang telah siap diisi untuk
minggu berikutnya hendaklah diserahkan kepada Guru Besar. Buku Rekod Mengajar
adalah menjadi hak milik sekolah dan perlu diserahkan ke pejabat apabila guru
itu bertukar, bercuti panjang dan juga pada akhir tahun sekiranya Guru Besar
memerlukan agar dia berbuat demikian.
Perhubungan
Guru Dengan Pelajar:
·
Guru
perlu mempunyai hubungan mesra dengan semua pelajar dan sentiasa bermuka manis.
Mereka perlu memahami masalah pelajar.
·
Disiplin
pelajar adalah menjadi tanggungjawab semua guru. Tindakan segera perlulah
diambil terhadap sebarang pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes-kes
pelanggaran disiplin yang serius hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar atau
guru disiplin.
·
Tiap-tiap
guru adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan disiplin.
Kesalahan yang berat sahaja hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar untuk
mendapat keputusan bagi pelaksanaan yang berkesan.
·
Perkara-perkara
tatatertib yang dianggap berat adalah seperti menganggotai pertubuhan haram,
membawa senjata merbahaya dengan tujuan jahat, memukul guru, mengancam
keselamatan orang lain serta melanggar peraturan sekolah. Pelajar juga dilarang
menulis kepada akhbar tanpa memberitahu pihak sekolah, merosakkan harta
sendiri, guru, pelajar, dan sekolah, mencuri, menghisap rokok dan mengambil
dadah, berjudi, meminum minuman keras dalam kawasan sekolah, membantah hukuman
guru, bersifat bongkak dan menghina guru atau Guru Besar.
·
Guru
yang mengajar dalam kelas hendaklah mengawal disiplin pelajar-pelajarnya.
·
Para
guru hendaklah menunjukkan teladan, sikap dan perwatakan yang sesuai untuk
dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar.
·
Jika
terdapat pelajarnya yang sakit atau ditimpa kemalangan, guru tersebut hendaklah
melaporkannya kepada guru bertugas harian atau penolong kanan dengan segera.
Masih terdapat banyak lagi bidang tugas guru yang
perlu dipatuhi agar dapat menjadi seorang guru yang berkualiti. Bidang tugas
yang ditunjukkan adalah sebahagian sahaja dari bidang tugas guru yang sebenar.
Seorang guru seharusnya mengetahui segala bidang tugas guru seperti
tanggungjawab mereka sebagai guru kanan, guru kelas, guru bertugas mingguan,
guru data, guru pusat sumber dan lain-lain lagi. Di samping itu, menjadi
tanggungjawab guru juga untuk mengelola dan mengendalikan segala program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah. Tidak kira guru permulaan mahupun guru lama,
mereka seharusnya bekerjasama dalam membantu menyelesaikan segala program atau
kerja yang diberikan. Guru baru perlu meminta tunjuk ajar dari guru lama yang
telah dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah mereka. Oleh yang demikian,
guru lama boleh dijadikan contoh teladan terbaik untuk mereka.
4.0 IMPLIKASI HUJAH MENGENAI ISU
Kebanyakan guru
permulaan dikatakan pasif, tidak kreatif, membosankan, tidak inovatif, tidak
imaginatif dan tidak dapat merangsang pembelajaran murid. Mereka dikatakan
tidak dapat menggunakan ilmu dan idea yang dipelajari di Institut Perguruan di
dalam situasi bilik darjah yang sebenarnya. Mereka juga tidak boleh
menyesuaikan ilmu dan kemahiran yang didapati serta menggunakannya di dalam
pengurusan bilik darjah secara berkesan. Guru permulaan ini boleh dikatakan
hilang punca terutamanya di tahun pertama mula mengajar. Dalam hal ini, pihak sekolah sudah tentu beranggapan
bahawa Institut Perguruan kurang berkesan dalam melahirkan guru permulaan yang
lengkap. Hal ini akan menyebabkan pandangan orang ramai terhadap guru permulaan
keluaran Institut Perguruan adalah kurang berkualiti dan akan menjatuhkan nama
institusi mereka.
Selain itu, kesan
lain sekiranya seorang guru baru tidak dapat menyesuaikan diri dan berusaha
untuk menjadi seorang guru berkualiti adalah ketidakmampuan
mengatur diri. Guru novis adalah juga seorang pengurus dan jika tidak
memanfaatkan waktu, tenaga, dan ketrampilan, mereka tidak akan dipandang tinggi
sekaligus menyebabkan murid tidak berminat untuk mengikuti atau mempelajari
ilmu pengetahuan dari seorang guru yang tidak terurus. Seorang guru yang tidak
dapat menyesuaikan diri juga tidak akan mampu menghadapi tekanan, cabaran serta
desakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pengurus pelajar. Mereka
dikatakan terhambat oleh ketidakmampuan mengatur diri sendiri dan tidak akan
mampu menjadi seorang guru yang lebih baik sekiranya tidak mencuba untuk
menjadi seorang pengurus yang baik.
Tambahan lagi, implikasi lain adalah
guru novis yang rendah kreativitinya tentu akan lemah dalam memulakan gagasan,
mengajak orang bekerja secara kreatif serta melaksanakan pendekatan baru. Seorang
guru permulaan perlu lebih kreatif dalam merancang pengajaran dan menyampaikan
pengajaran. Mereka juga perlu bijak dan tanpa segan silu dalam meminta bantuan
serta pandangan dari guru yang lebih berpengalaman untuk dijadikan contoh. Guru
yang berpengalaman punyai ilmu pengetahuan yang lebih tinggi dalam menyampaikan
pengajaran dan mengawal kelas. Guru permulaan boleh menggunakan idea yang
diberikan agar dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih baik.
Isu pengurusan bilik darjah
adalah salah satu masalah yang dihadapi kebanyakan guru-guru baru. Menurut
Hapidah Mohamed (2001), untuk mencapai tahap kepakaran dan kecemerlangan
seseorang guru novis itu perlu melalui pelbagai cabaran dan menangani pelbagai
masalah di bilik darjah. Ini bermakna sebelum seseorang guru itu bergelar guru
pakar, guru tersebut terpaksa berdepan dengan masalah pengurusan bilik darjah
dan setiap guru baru pasti akan berdepan dengan permasalahan yang sama. Namun
begitu, bukan semua guru mampu menangani cabaran dalam bilik darjah. Akibat
daripada kesukaran untuk menyelesaikan masalah dalam bilik darjah dengan
berkesan, berlakulah gejala yang tidak sihat seperti tahap profesionalisme guru
yang menurun dan pedagogi yang kurang berkesan.
Selain daripada pengurusan
bilik darjah, masalah atau kesan lain yang akan timbul sekiranya guru baru
tidak cepat untuk menyesuaikan diri adalah mereka akan berasa kekok dan tidak
berani untuk menunjukkan kemahiran yang ada. Sebagai contoh ketika aktiviti
kokurikulum, seorang guru baru yang segan silu menunjukkan kemahiran yang ada
akan berasa malu untuk menunjukkan kebolehan mereka mengendalikan aktiviti
kerana takut tunjuk ajar yang diberikan adalah salah. Adalah menjadi
tanggungjawab seorang guru permulaan untuk berkolaboratif atau bekerjasama
dengan guru lama dalam mengendalikan aktiviti kokurikulum.
Guru yang tidak cepat
menyesuaikan diri juga akan mengalami masalah untuk berkomunikasi dengan murid
dan kakitangan sekolah yang lain. Hal ini adalah kerana kurangnya sifat
keberanian untuk menyampaikan kata-kata dan tidak bersedia sepenuhnya dalam menyampaikan
pengajarannya. Adalah menjadi satu sifat seorang guru untuk petah berkata-kata
dan sentiasa menunjukkan keberanian ketika bertutur di depan orang ramai agar
dapat menjadi seorang guru berkualiti. Dengan bijak untuk bertutur, barulah
seorang guru baru dapat berkomunikasi dengan baik dan dapat menyampaikan segala
ilmu pengetahuan dengan baik.
5.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Orientasi
merupakan satu prosedur bagi menyediakan maklumat latar belakang asas
organisasi kepada staf baru (Dessler, 1997). Setiap guru permulaan mesti
melalui peringkat orientasi bagi membolehkan mereka mengenali serta menghayati
budaya dan persekitaran sekolah di samping memahami tugas dan tanggungjawab
yang akan mereka laksanakan. Mereka juga perlu diberi peluang untuk memajukan
diri dan mempertingkatkan profesionalisme keguruan dengan persekitaran sekolah
baru. Orientasi guru permulaan merupakan titik tolak bagi mereka untuk
menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan negara selain dapat merancang
strategi bagi menghadapi pelbagai masalah yang sering dihadapi oleh guru
permulaan.
Cadangan
yang berikutnya adalah setiap guru permulaan mesti melibatkan diri secara aktif
dalam program mentoring bagi meningkatkan dan memantapkan penguasaan
pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan pengajaran dan pembelajaran serta
pengurusan sekolah. Pementoran merujuk kepada hubungan serta komunikasi secara
profesional iaitu seseorang guru yang lebih berpengalaman atau lebih
berpengetahuan membantu guru permulaan yang baru berkhidmat di sekolah. Mentoring
melibatkan komunikasi dua hala dalam tempoh masa yang tertentu antara seorang
individu yang berpengalaman, berpengetahuan serta mempunyai kebijaksanaan yang
tinggi (mentor) dengan seorang yang dianggap kurang berpengalaman,
berpengetahuan serta kurang berkemahiran (mentee).
Selain itu, antara isu-isu berkaitan dengan produk guru permulaan
adalah tentang program latihan perguruan yang mereka terima di Institut Perguruan
yang didapati masih boleh dimantapkan agar dapat menyediakan guru permulaan
untuk menghadapi pelbagai cabaran dan masalah di sekolah terutama dari segi
kualiti diri guru, strategi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan
kokurikulum di sekolah. Maka dicadangkan bahawa Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
harus sentiasa menambah baik program latihan dan kurikulum perguruan sejajar
dengan kehendak dan situasi sebenar di sekolah.
Institut Perguruan juga harus terus memantau kualiti guru
permulaan dalam tempoh enam bulan guru permulaan berada di sekolah di bawah
sistem maklum balas pelanggan serta membuat penambahbaikan terhadap aspek-aspek
di mana guru permulaan perlu diperbaiki. Sehubungan ini, BPG telah berusaha
membentuk suatu ''Standard Guru Permulaan'' yang dijadikan satu asas penentuan
ciri-ciri yang perlu ada kepada semua guru permulaan untuk dianugerahkan ''Status
Kelayakan Guru'' (SKG). Oleh itu, diharapkan semua Institut Perguruan
menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memantau kualiti kerja yang
ditunjukkan oleh guru permulaan di sekolah agar dapat menghasilkan guru baru yang
berkualiti dan bertanggungjawab.
Guru permulaan juga
perlu menyesuaikan diri dengan budaya sekolah secepat yang mungkin. Budaya di
IPG tidak sama dengan budaya di sekolah. Lain padang lain belalang, begitulah
perumpamaan yang membawa maksud setiap tempat itu mempunyai budaya kerja
masing-masing. Sebagai guru permulaan, meraka harus menyesuaikan diri dengan
budaya sekolah termasuk keadaan, tempat, cara berinteraksi dengan guru-guru
lama serta keseluruhan warga pendidik di sekolah tersebut. Guru permulaan perlu
wujudkan budaya yang mesra supaya kehadiran mereka disenangi oleh semua pihak, khususnya
pihak pengurusan sekolah. Elakkan daripada wujudnya suasana tegang akibat sikap
guru yang tidak profesional dan masih terbawa-bawa perwatakan sebagai pelajar ketika
masih berada di IPG.
Sebagai guru
permulaan, mereka harus peka dan sentiasa mendapat maklumat tentang pelbagai
aspek. Bermula daripada maklumat murid, maklumat yang berkaitan dengan
pengajaran dan pembelajaran seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT), pusat sumber hinggalah maklumat berkaitan pengurusan pentadbiran seperti
takwim sekolah dan sebagainya. Maklumat ini akan dapat membantu guru permulaan
dalam proses perancangan pengajaran serta proses peningkatan profesionalisme.
Guru baru juga adalah diingatkan bahawa sebagai guru permulaan mereka akan
sentiasa berada di bawah pengawasan dan pemantauan pihak sekolah, PPD serta
JPN. Oleh itu, mereka seharusnya menunjukkan prestasi yang baik, sentiasa
bersikap positif tanpa banyak membuat rungutan serta bersedia membuat
transformasi diri ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang mantap, berkualiti
serta bertaraf dunia.
Selain itu, sebagai
guru permulaan, mereka juga harus mempunyai kepelbagaian idea yang bukan sahaja
dilihat dari aspek isi pengajaran atau perancangan, bahkan juga dari aspek
pedagogi dan sistem penyampaian. Seorang guru terutamanya bagi mereka yang
baharu memulakan bidang perguruan harus mempunyai beberapa kemahiran sebagai
nilai tambah dalam proses menghasilkan pengajaran yang berkesan. Guru permulaan
juga harus mewujudkan keseronokan dan keceriaan belajar dalam kalangan
murid. Mereka hendaklah menyusun aktiviti, alatan
dan pengajaran berdasarkan ilmu sedia ada di kalangan pelajar dan tahap
perkembangan pelajar supaya semua pelajar boleh berjaya.
BIBLIOGRAFI
Laman
Web:
(diakses pada 12 Ogos
2012)
(diakses pada 12 Ogos
2012)
(diakses pada 12 Ogos 2012)
(diakses pada 12 Ogos
2012)
(diakses pada 12 Ogos
2012)
(diakses pada 12 Ogos 2012)
(diakses pada 12 Ogos 2012)
Buku Rujukan:
·
Abu
Bakar Nordin. (1995). Cabaran pendidikan guru: Falsafah dan strategi dalam
pembentukan guru yang unggul. Prosiding Seminar Kebangsaan. Bangi:
Fakulti Pendidikan UKM Bangi.











No comments:
Post a Comment