Total Pageviews

Monday, 3 September 2012

Disediakan oleh: saudari NUR ASYILAH MUSTA'AIN

PELAJAR PEREMPUAN - GURU MINTA KEBENARAN MEROTAN



GURU-guru meminta Kementerian Pelajaran memberi kebenaran yang lebih luas kepada guru tertentu untuk merotan pelajar perempuan.

``Kuasa membenarkan guru merotan perlu jelas, termasuk membenarkan pelajar perempuan dirotan,'' kata sekumpulan guru yang sebulat suara menyatakan pendirian mereka berhubung perkara itu, baru-baru ini.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh sekumpulan 85 guru pelbagai jawatan semasa dialog bersama-sama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi membincangkan isu disiplin pelajar sekolah.

Dalam menangani masalah disiplin pelajar, kumpulan guru berkenaan menyokong tindakan merotan pelajar yang bersalah tetapi ia harus dilakukan dengan tertib.

Ini termasuk menyediakan garis panduan mengenai tatacara merotan.

``Kuasa merotan juga harus dihadkan kepada guru-guru tertentu seperti guru besar, guru disiplin, guru penolong kanan dan hal ehwal murid,'' katanya.

Guru-guru yang menyertai dialog yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan guru berjawatan pengetua, guru besar, guru biasa, guru disiplin dan guru kaunseling.

Mereka merupakan guru dari sekolah menengah, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Pada bengkel yang sama, guru-guru itu mahu Kementerian Pelajaran menghentikan kursus-kursus pendidikan semasa waktu sekolah dalam usaha menangani masalah disiplin pelajar di sekolah-sekolah.

Kumpulan guru itu juga mendesak agar Mesyuarat Guru Besar tidak diadakan semasa waktu persekolahan dan kaunselor tidak harus kerap keluar berkursus.

Mengenai kuasa polis, mereka menyifatkan peranan polis amat penting dan mereka harus sentiasa mendampingi pihak sekolah selain memberi ceramah kepada para pelajar.

Pihak polis juga diminta mengawasi kafe siber yang merupakan salah satu lokasi paling popular dalam kalangan pelajar.

``Polis perlu meningkatkan pemantauan terhadap kafe siber dan membantu pihak sekolah dengan melaporkan kegiatan pelajar di kafe siber itu,'' katanya.

Dalam pada itu para guru berkenaan turut mempertikaikan bebanan guru yang semakin bertambah terutama dalam melakukan tugas-tugas perkeranian.

``Guru-guru seharusnya diberi peluang untuk mengajar dan jumlah jawatan kerani harus diperbanyakkan di sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah melebihi 1,000 pelajar bagi merekod kes-kes disiplin,'' katanya.

Selain itu peruntukan tambahan guru khas untuk mengajar pelajar-pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran juga perlu.

Mereka juga meminta agar guru diberi insurans dan dilindungi daripada tindakan ibu bapa selain melantik penasihat undang-undang di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

``Guru kaunseling bertauliah perlu dilantik dan mereka harus bertugas sepenuh masa dan jawatan harus dianggap sebagai jawatan naik pangkat,'' katanya.

Sementara itu kumpulan guru berkenaan meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar tidak campur tandan dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Sebaliknya, PIBG diminta lebih komited dalam isu menangani disiplin pelajar.

Untuk memastikan pembabitan ibu bapa dalam perkara tersebut, para guru mencadangkan agar kad kemajuan pelajar diberi semasa Mesyuarat Agung PIBG sekolah masing-masing.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm


2.0      ISU HALANGAN-HALANGAN DAN CABARAN GURU MENDISIPLINKAN PELAJAR

            2.1 PENGENALAN

Seperti yang kita sedia maklum, bidang pendidikan kini sering digemparkan dengan kes di mana guru disabitkan kesalahan atas tuduhan memukul dan merotan murid atas beberapa kesalahan yang dikatakan tidak munasabah sebagai contoh tidak menyiapkan kerja sekolah, datang lewat ke sekolah, tidak menghadiri kelas tambahan dan lain-lain. Saya menyokong kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom bahawa Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai, bagi memastikan pendidik dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan lebih tegas dan berkesan (Berita Harian, 30 Julai 2007).

Mari kita putar kembali masa pada zaman pendidikan di era 70-80 an di mana guru dibenarkan bukan dari segi undang-undang tetapi oleh ibubapa sendiri untuk memukul dan merotan anak-anak mereka atas kesalahan walau kesalahan tersebut sekecil mana pun. Kesinambungan terhadap kebenaran ibubapa itulah yang sedikit-sebanyak membawa kepada kurangnya masalah disiplin murid di sekolah. Malah pada zaman itu, tidak wujud kes-kes disiplin yang “melarat” seperti gansterisme, ponteng sekolah, merokok dan dadah serta sebegainya. Mendisiplinkan pelajar adalah antara tugas berat seorang guru. Banyak faktor yang perlu difikirkan. Banyak yang perlu diambilkira. Ia menuntut suatu komitmen yang tinggi tahapnya bagi seorang guru yang hendak berjaya mendisiplinkan pelajarnya. Kaedahnya banyak dan tidak ada suatu formula ajaib dalam menjayakan hal tersebut.

Sewaktu di institusi yang mendidik guru, pelatih diberikan banyak panduan untuk menjadi guru yang berjaya. Semasa mengajar kawalan kelas sangat penting. Tanpa kawalan kelas guru tidak selesa mengajar. Pelajar menjadi liar. Pengajaran dan pembelajaran tidak lancar. Guru tidak boleh menyampaikan pengajarannya. Guru akan mengalami stress, ketegangan emosi yang mungkin fatal hingga menjadikannya sasau. Tanpa rawatan dan pencegahan guru hilang minat mengajar. Pelajar pula akan hilang minat belajar. Dalam keadaan seperti itu guru boleh menjadi bengis. Memukul pelajar tanpa batasan. Mungkin tega untuk mencederakan pelajar. Implikasi lain mungkin ia akan mohon bertukar sekolah. Pelajar pula hilang hormat terhadap guru. Minat mereka untuk belajar menjadi layu. Guru seolah-olah tidak wujud kepada mereka. Sukar untuk berkomunikasi antara guru dan pelajar. Masing-masing membina tembok yang menyukarkan perdamaian dan mencari titik pertemuan. Mereka berlainan arah. Semakin mereka menjauh kerana arah yang dituju bukan destinasi yang sama.

Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem pendidikan negara begitu terasa. Ledakan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi global serta kewujudan arus perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam sistem pentadbiran negara, menuntut konsep pendidikan mencorak ke arah yang bercirikan teknologi secara saintifik. Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-matanya, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dalam segi moral dan etika yang murni. Disiplin dalam bentuk formal perlu dirangka di sekolah-sekolah. Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk menrealisasikan aspirasi negara, timbul pula bantahan ibu bapa terhadap hukuman guru-guru ke atas pelajar dan berita berkenaan dengan ibu bapa atau pelajar menyerang atau mencederakan guru. Maka timbullah persoalan sama ada patutkah institusi pendidikan khususnya guru-guru sekolah terlibat dalam soal mendisiplinkan pelajar dan apakah kaedah yang patut dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman disiplin terhadap pelajar?

 

2.2 IBUBAPA VERSUS GURU???

Dahulunya, guru sering dipandang dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Ini adalah kerana dalam apa jua situasi dan keadaan mereka akan merujuk kepada guru sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kekeliruan dan permasalahan yang melanda. Tambahan pula, dahulunya juga, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Ini kerana pelajar hari ini dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit. Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi punca pelajar melawan guru. Tetapi kini??? Disebabkan beberapa kesalahan kecil guru lain tetapi sering digembar-gemburkan melalui beberapa medium media massa ibarat ayam bertelor sebiji riuh sekampung, masyarakat mula memandang serong terhadap profesion keguruan ini. Bak kata pepatah,” kerana nila setitik, habis susu sebelanga”.

Kalau kita membicarakan tentang masalah guru memukul pelajar. Pasti banyak tafsiran yang berbeza mengenai guru yang jahat. Kalau seorang murid sekolah rendah, pasti katanya guru yang jahat akan memberi latihan atau kerja rumah yang banyak. Jelas di sini keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah utuk meningkatkan kemahiran murid, disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru itu lebih banyak menghabiskan masanya untuk menyemak latihan atau kerja rumah murid-muridnya. Dalam hal ini, ibu bapa yang kurang faham akan beranggapan guru memberi kerja rumah yang banyak sebagai mendera anak mereka. Murid-murid sekolah menengah, pasti mengatakan guru yang jahat akan selalu menghalang atau mengawal mereka dari segi kesalahan. Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru melakukan semua itu cuma untuk kebaikan mereka juga. Bagi sesetengah pihak ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, pasti mereka kurang bersama anak-anak dalam kehidupan seharian. Mereka pasti tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh anak mereka. Tetapi bila guru cuba memperbetulkan tingkah laku anak murid mereka, ibu bapa akan cepat melenting. Mereka beranggapan bahawa guru itu mendera anak mereka sahaja.

Ibu bapa seharusnya sedar, naluri seseorang kanak-kanak dan remaja sememangnya nakal dan setiasa mempunyai perasaan yang suka memberontak. Proses mendisiplin pula amat rumit dan berhadapan dengan pemberontakan jiwa anak-anak. Proses mendisiplinkan di tahap remaja atau buluh lebih menyukarkan dan sebab itu ibu bapa mengelak utnuk mendisiplinkan anak mereka sama ada melalui perang psikologi mahupun rotan. Mereka takut untuk berhadapan dengan sikap pemberontakkan anak-anak mereka ini. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan lari dari rumah atau melakukan perbuatan yang negatif seperti menagih dadah dan sebagainya. Institusi sekolah yang bersedia memainkan peranan itu, menggariskan beberapa garis panduan dan disiplin yang semata-mata mahu mendidik dan mengawal tingkah laku pelajar yang pada peringkat usia sebegini mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan persekitaran.

Alangkah baiknya pihak ibu bapa pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk mendisiplinkan murid-murid, dengan niat untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti. Menurut Kamarrudin Jusoh bekas pengetua sekolah menengah yang berpengalaman selama sebelah tahun sebagai guru disiplin. Sekalipun ia menjadi musuh kepada murid-murid, tetapi sebilangan besar bekas pelajarnya "kepala samseng" (suka bergaduh, mencuri, pecah sekolah, peras ugut, merokok, ponteng sekolah dan sebagainya) telah dapat di bentuk untuk menjadi insan yang kamil walaupun mereka ini tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan formal mereka. Dalam hal ini, jelas kepada kita bahawa, sewaktu usia murid-murid yang belasan tahun, mereka tidak dapat berfikir secara resional. Dengan menggunakan disiplin di sekolah, mereka dapat diubah dan dibentuk. Setidak-tidaknya mereka akan berterima kasih di atas disiplin yang pernah dikenakan sewaktu usia remaja mereka. Jika diamati, pelajar hari ini yang terdiri dari remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku. Pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme), merompak dan ada yang mengupah orang untuk memukul guru.

Perlakuan sebergini tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan cepat marah sekiranya anak mereka menunjukkan lebam dan mengadu dipukul guru. Lazimnya, mereka terlupa untuk bertanya mengapa anak mereka dipukul.

Akhbar Berita Harian, 31 Oktober 1996 melaporkan kejadian mengenai tindakan sekumpulan penduduk menyerang seorang guru dan pengetua Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad di Kampung Kurnia, Kuatan. Insiden tersebut telah dapat menunjukkan tahap keseriusan hubungan yang renggang di antara guru dan masyarakat setempat. Hubungan erat serta penghormatan guru dahulu kala telah lupus akibat ditelan zaman. Peliknya dunia hari ini kerana ibu bapa akan lebih melenting sekiranya mendapat tahu anak mereka dipukul oleh guru sekolah tetapi mereka akan membisu sekiranya mendapat tahu anak mereka menjadi bohsia, bohjan ataupun menagih dadah. Institusi sekolah dan guru pada hari ini dianggap sebagai budaya dan bukan lagi institusi yang memberi ilmu kepada murid-murid. Sebab itulah para ibu bapa menganggap guru dibayar gaji untuk membantu anak mereka lulus peperiksaan. Tugas guru sebagai penyalur pengetahuan tidak lagi dipandang tinggi malah tugas pendidik masa kini dianggap sebagai kerja yang perlu dilakukan oleh guru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada berlaku keterlanjuran tindakan disiplin oleh segelintir guru terhadap pelajar kerana mereka juga manusia biasa, tetapi sikap agresif ibu bapa mungkin boleh melemahkan semangat guru untuk menjalankan tugas secara dedikasi pada masa depan.

 

 

 

2.3 MENDISIPLINKAN PELAJAR ATAU DISIPLIN GURU YANG TERGANGGU??

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?  Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

 Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Berita guru memukul pelajar dan sebaliknya sering berlaku dan menjadi topik media juga bualan hangat masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media masa (Lampiran A). Pihak ibu bapa hari ini sering mencari jalan penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil bagi para guru. Media masa pula sering berpihak kepada murid yang terlibat tanpa pertimbangan yang wajar. Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media sebagai tempat mengadu hal. Sebaik-baiknya ibu bapa perlulah mendapat keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan. Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Dalam pandangan mereka, pasti guru tidak adil dan jahat. Malah ada yang menuduh guru sengaja mencari peluang untuk memukul kerana membenci muridnya. Keadaan ini pasti sering membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam ibu bapa itu sendiri.

Pihak media masa pula sering memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. Kerana ada sesetengah media masa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa memikirkan kenyataan yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi perkataan sensasi yang sering digunakan ialah ‘cedera’. Guru digambarkan sebagai jahat kerana memukul murid tetapi apabila diketahui bahawa sikap murid terbabit sebagai punca dia dipukul, media tidak pernah memperbetulkan cerita apa lagi meminta maaf. Keadaan ini jelas sekali, pasti kita tidak pernah mendengar berita dari media masa yang melaporkan tentang murid yang melakukan kesalahan disiplin perlu dipukul. Kenapakah keadaan ini berlaku? Pasti kerana berita ini tidak menarik minat para media masa begitu juga dengan masyarakat umumnya. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Melihat kepada permasalahan ini iaitu apabila pelajar melakukan kesalahan disiplin tetapi menjadi satu kekangan bagi guru untuk menjalankan hukuman terhadap pelajar itu, apakah tindakan yang boleh sekolah mahupun guru itu sendiri bagi mengatasi masalah disiplin pelajar yang semakin berleluasa??? Seperti yang diterangkan di atas, menjadi satu kesalahan bagi guru untuk melakukan apa jenis fizikal kontak terhadap pelajar itu. Adakah perlu guru menggunakan kekerasan untuk mendidik seterusnya membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah??? Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca segera datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami. Sememangnya kita tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan.

 

Pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff berpendapat segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu terjadi. Pada masa lalu memang banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu bapa sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini banyak ibu bapa berpelajaran tinggi dan mengubah cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan kepada psikologi. Cara kekerasan pada mereka adalah kuno dan kolot yang tidak sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan cara kekerasan dalam mendidik pelajar. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara sendiri.

 

2.4 TINDAKAN YANG DIAMBIL DAN AKIBATNYA???

Pendedahan kes guru mendera murid ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung segera dan semua pihak terlibat. Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukar ke tempat lain semata-mata. Guru-guru yang tidak berminat mengajar, lebih baik diambil tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut. Isu guru adalah masalah negara yang perlu diberi perhatian dengan menaikkan taraf profesion dan peruntukan gaji yang munasabah. Inilah masalah kualiti guru kesan daripada pengambilan yang bertujuan hanya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Seandainya, guru yang betul-betul layak perlu diperolehi dengan kadar segera. Dr. Mohamed Awang turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru. Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah. Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.

Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan telah menyedia dan menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari Seksyen 319 ia menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang mencederakan. Antara seksyen yang menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320 iaitu cedera parah; Seksyen 321 - dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 322 - dengan sengaja menyebabkan cedera parah. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat peruntukan di bawah Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah. Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, misalan, jika seorang guru besar telah menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar, maka guru tersebut tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana guru itu bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi udang-undang. Bagaimanapun, jika murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus disusuli dengan laporan polis. Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-undang Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul di mahkamah sivil.

Ketika ini, peraturan yang sedia ada terlalu mengongkong guru daripada menjalankan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar. Guru-guru yang bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas mereka untuk mendidik dan membentuk generasi muda yang bergelar ’ pelajar’ ini bukan sekadar menjalankan tugas mereka untuk mengajar di dalam kelas dan menuruti setiap silibus yang dirancangkan tetapi peranan guru juga penting untuk membentuk peribadi pelajar. Apabila kuasa untuk mendisiplinkan pelajar disekat kepada guru-guru dan tangan guru-guru ’diikat’ daripada mengambil tindakan kepada pelajar maka pelajar merasakan diri mereka terlalu kebal untuk dikenakan tindakan oleh guru. Memang kita tidak dapat nafikan terdapat juga kes yang guru-guru yang mengambil tindakan diluar daripada peraturan yang ditetapkan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai kayu ukur kepada semua guru. Kekangan mendisiplinkan pelajar semakin terasa apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa Pengetua, Guru Besar dan guru-guru tidak lagi dibenarkan mengenakan hukuman rotan di khalayak ramai kerana Kementeriaan Pelajaran menyifatkan ianya adalah hukuman yang tidak wajar (Berita Harian, 11 Mac 2006)

Sebelum ini hanya pengetua atau guru besar sahaja yang dibenarkan merotan pelajar yang bermasalah tetapi bukan semua pengetua dan guru besar ini mengambil tindakan. Malah, ada yang ’mengampunkan’ kesalahan pelajar tanpa diambil tindakan sehingga menyebabkan guru-guru kecewa. Namun hak kepada Pengetua dan Guru Besar untuk mengambil tindakan disiplin kepada pelajar juga ‘terlucut’ apabila Datuk Noh Omar memberikan penegasan pula bahawa mulai tahun 2007, guru besar dan pengetua sekolah tidak lagi mempunyai kuasa penuh untuk menentukan hukuman terhadap pelajar yang terbabit dalam kesalahan disiplin, sebaliknya sebarang hukuman akan diputuskan Lembaga Disiplin yang dianggotai wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pegawai perhubungan di sekolah terbabit (Berita Harian, 14 September 2006) Akhirnya, tugas untuk mendisiplinkan pelajar menjadi rumit kerana terlalu banyak langkah-langkah yang perlu dituruti sebelum sesuatu tindakan diambil. Bila perkara ini berlaku, langkah yang paling mudah adalah dengan mengabaikan sahaja kes disiplin yang berlaku. Kita perlu sedar bahawa tanggungjawab lebih kurang 350,000 orang guru yang terpaksa mengawal dan mendidik pelajar diseluruh negara yang berjumlah 5 juta orang terlalu berat untuk dilaksanakan. Bukan semua pelajar yang hadir ke sekolah dengan seikhlas hati untuk mendapatkan ilmu dan bimbingan. Pelbagai ragam pelajar perlu ’dilayan’ yang akhirnya mengganggu tugas sebenar guru untuk mendidik. Terkadang kita lebih mengutamakan berapa banyak ’A’ yang akan pelajar perolehi daripada mengambil kira pembinaan insan terhadap anak-anak mereka.  Justeru cadangan Kementerian Pelajaran untuk meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 yang telahpun menjangkau usia 50 tahun adalah langkah yang terbaik bagi mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah.

2.5 RUMUSAN

Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata. Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya. Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah.  Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.  Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar. Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin lantas menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera. Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid. Dalam prinsip dan garis panduan pertama ditegaskan status guru hendaklah sejajar dengan keperluan pendidikan seperti yang dinilai dalam konteks objektif dan tujuan pendidikan semasa. Dalam hal ini perlu diterima kahikat bahawa status profesion perguruan dan pengiktirafan masyarakat terhadap profesion itu adalah unsur terpenting menentukan keupayaan untuk merealisasikan tujuan dan objektif pendidikan. Sebaliknya ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah.
 
3.0 BIBLIOGRAFI
BUKU :
1.    Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon (2010), Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd, Selabgor Darul Ehsan.
2.    Sufean Hussin, Shahril@Charil Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md.Som, Alina Ranee (2005), Pentadbiran dalam Pembangunan Pendidikan. PTSProffesional  Publishing Sdn.Bhd, Pahang.
3.    Abdullah Sani Yahya, Abdul Rashid Mohamed Ph.d, Abdul Ghani Abdullah Ph.d (2007), Guru sebagai Pemimpin. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd, Kuala Lumpur.
4.    John West Burnham, Fergus O’Sullivan (1999), Mengembangkan Profesionalisme di Sekolah. Attin PressSdn.Bhd, Kuala Lumpur.
5.    Amin Senn (2008), Pembangunan Profesional Guru. Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd, Kuala Lumpur.
6.    Ang Jitt Eng Ph.d (2007), Pengurusan Disiplin Murid. PTS Professional Publishing Sd.Bhd, Kuala Lumpur.
 
LAMAN WEB :

No comments:

Post a Comment