Total Pageviews

Monday, 3 September 2012

Disediakan oleh: saudari SUHAIDA MD.SAAD



Ahad, Jun 27, 2010  namaberita.com  No comments

SRI AMAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada para guru yang ponteng mengajar semata-mata ingin balik kampung masing-ma-sing lebih awal sebelum hujung minggu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin kerana bercanggah dengan peraturan sekolah.

“Kami akan siasat aduan seumpama ini. Tapi tidak semua guru ponteng mengajar.

“Ini tidak patut dilakukan kerana bercanggah dengan peraturan kerja,” katanya dalam sidang media dalam majlis perasmian Prasekolah Rumah Panjang Kampung Sapak, Pantu dekat sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta ibu bapa yang mengetahui salah laku guru untuk melaporkan kepada pengurusan sekolah.

Masalah seumpama itu menurut beliau merupakan yang pertama beliau dengar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan menyebut ketika berucap terdahulu.

Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran tidak akan mengambil mudah aduan sedemikian kerana ia membabitkan pelajaran anak-anak.

“Ini bukan wabak, pihak pengurusan sekolah boleh mengambil tindakan disiplin terhadap guru-guru yang ponteng mengajar,” katanya.

Terdahulu Snowdan berkata, ada segelintir guru sekolah di kawasan Balai Ringin kerap ponteng kerja.

“Ibu bapa ada mengadu guru-guru kerap ponteng mengajar kerana hen-dak pulang ke kampung masing-masing sebelum hujung minggu.

“Kadang-kadang ada yang meng-ajar cuma tiga dan empat hari se-minggu kerana hendak balik,” katanya.

Masalah itu menurut beliau akan menjejaskan proses pembelajaran murid dan pelajar sekolah.

Malah, keadaan itu ditambah dengan kekerapan guru bertukar kerana tidak tahan bekerja di pedalaman.

“Tempoh menanti guru baru untuk melapor diri kadang-kadang terlalu lama dan ini menjejaskan pelajaran anak-anak,” katanya.

Posted in: Berita Pendidikan



1.0        PENGENALAN MENGENAI ISU

Isu guru ponteng ini merupakan isu yang sering berlaku tidak kira di kawasan bandar ataupun luar bandar. Malah isu ini lebih kerap berlaku di kawasan pedalaman. Masalah guru ponteng tidak pernah selesai dari dahulu sehingga sekarang. Biarpun pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memberi amaran, namun masih terdapat guru yang ponteng sekolah. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan guru ponteng sekolah. Walaupun guru sering memberi pelbagai alasan yang ‘munasabah’ bagi mereka, namun bagi pihak sekolah, tiada alasan yang ,unasabah jika guru yang sama sering ponteng sekolah. Itu bukan alasan namanya tetapi sikap pemalas guru tersebut. Sebelum saya memberi hujah mengenai isu artikel ini, sukacitanya untuk saya menyatakan pengenalan kepada ‘guru ponteng’ ini.

 

Definisi Ponteng

Menurut Kamus Dewan Edisi ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab.

Manakala ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja melaporkan diri atau tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun.ini menunjukkan apabila seseorang itu tidak datang kerja pada waktu bekerja mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.

 

Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya.

 

Jenis-Jenis Ponteng

Ponteng boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada murid, sekolah malah pada guru itu sendiri.

                     I.        Ponteng Sekolah

Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang tidak munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering digunakan oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah kerana pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik.

 

 

                    II.        Ponteng Kelas

Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat masuk ke dalam kelas dengan sengaja atau keluar lebih awal sebelum tamat masa pengajaran dan pembelajaran tanpa alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual dan bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dan sebagainya. Guru bermasalah ini menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan lebih penting daripada mengajar di bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.

 

                   III.        Ponteng Tugasan

Ponteng tugasan adalah tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbirs sekolah. Contohnya guru tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak menghadirkan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut.

 

2.0        PERKEMBANGAN HUJAH MENGENAI ISU

Berdasarkan artikal tersebut, Tmbalan Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin memberi amaran kepada para guru yang ponteng mengajar semata-mata ingin balik kampung masing-masing lebih awal sebelum hujung minggu. Masalah guru ponteng ini kerap berlaku apabila tiba musim cuti sekolah dan musim-misim perayaan. Guru akan mengambil jalan mudah dengan ponteng ke sekolah kerana ingin pulang awal ke kampung halaman masing-masing terutamanya pada musim perayaan. Alasan yang sering diberikan ialah tidak mahu terlibat dengan kesesakan jalan raya semasa pulang ke kampung, suami dapat cuti awal, jadi kena ikut suami, tiket bas dah habis dan perlu beli tiket yang lebih awal dan sebagainya. Alasan-alasan ini sering diberikan oleh guru-guru yang hendak pulang lebih awal.

 

Menurut, Tan Sri Muhyidin Yassin dalam kenyataan artikal tersebut, mereka (guru) yang terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin kerana bercanggah dengan peraturan sekolah. Hal ini kerana is bercanggah dengan peraturan kerja malah melanggar etika keguruan.  Masalah ponteng di kalangan guru ini berdasarkan artikal di atas jelas menunjukkan guru tersebut telah melanggar etika keguruan.

 

Dalam kamus dewan, etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut kamus oxford pula, etika ialah prinsip moral atau set prinsip moral. Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya.

 

Begitu juga dengan isu etika guru bukanlah cerita baru yang menghiasi dada akhbar dan kini sering dibicarakan di kaca televisyen. Profesion keguruan sekarang ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini jelas apabila semakin banyak isu salah laku guru tersiar di kaca televisyen, menjadi topik perbincangan pihak tertentu dan menghiasi dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai jenis salah laku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara. Ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat. Isu ponteng ini semakin menular di kalangan guru. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

 

Jelas menunjukkan Timbalan Perdana Menteri amat risau dengan pendidikan kanak-kanak (pelajar) jika guru ponteng ke sekolah. Pelajaran mereka akan terjejas sekiranya guru tidak mengajar pada hari tersebetu. Tambahan, guru yang ponteng lebih daripada sehari akan memberikan kesan yang lebih buruk pada pelajaran para pelajar. Guru perlu tahu bahawa bukan semua pelajar yang suka guru tidak masuk kelas tau mengajar, terdapat ramai pelajar yang sangat suka untuk belajar yang mempunyai kesedaran bahawa pelajaran akan menjamin masa depan mereka. namun, jika sikap guru yang tidak bertanggunajawab dengan ponteng ke sekolah akan menjejaskan pelajaran pelajar di samping mengikis semangat mereka untuk terus belajar dan mengecapi kejayaan.

 

Jika guru menunjukkan sikap yang tidak baik dengan peonteng sekolah, bagaimana pelajar hendak mencontohi guru yang mana merupakan role model kepada mereka. Sikap guru ponteng ini amat memberi kesan pada profesion perguruan dimana bukan sahaja pelajar yang akan memandang serong, malah ibu bapa dan juga masyarakat turut akan memandang serong pada profesion perguruan. Jangan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Guru seharusnya sedar betapa pentingnya nilai guru di mata masyarakat. Masalah guru ponteng ini akan turut mengundang pada masalah lain selain dari pelajaran pelajar terjejas iaitu masalah pelajar ponteng. Bagaimana hendak mengatasi masalah pelajar ponteng jika guru turut sama mempunyai sikap seperti pelajar tersebut.

 

Oleh itu, guru perlu menunjukkan sikap yang baik agar para pelajar dapat mencontohi sikap guru untuk berubah ke arah kebaikan. Sikap yang sentiasa memberikan alasan akan mengundang pelbagai masalah kepada guru yang mengamalkan sikap ini. Biarpun ingin pulang awal ke kampung, tidak perlulah ponteng kerja sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Guru perlu ingat bahawa pelajar seting dahagakan didikan, ilmu pengetahuan dan tunjk ajar seorang guru yang boleh membimbing dan membentuk mereka menjadi insan yng berguna pada agama,ibubapa, masyarakan dan juga negara.

Masalah guru ponteng ini akan menjadi lebih teruk jika terdapat pihak hanya memandang sebelah mata mengenai masalah ini. Pihak sekolah harus memainkan peranan penting dalam menangani masalah guru ponteng ini. Menurut Tan Sri sendiri, ibu bapa juga memainkan penanan penting bagi membendung masalah ini berlarutan. Ibu bapa perlu membnuat laporan pada pihak sekolah jika tahu salah laku guru tersebut. Hal ini akan membantu pihak pengurusan sekolah untuk mengenal pasti guru-guru yang ponteng sekolah tanpa alasan munasabah. Pentadbir yang prihatin akan selalu mengambil berat masalah kakitangan bawahan. Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada untuk mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir juga perlu mengambil tidakan segera kepaga guru-guru yang sering ponteng. Hal ini kerana ditakiti gejala ini diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya guru besar tidak mengambil tindakan kepada guru yang melakukan kesalahan.

 

Masih terdapat faktor lain yang menyebabkan kebanyakan guru ponteng ke sekolah. Antaranya ialah tekanan bebanan kerja. Kyriacao&Sutcliffe (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga terpaksa mengabaikan kehendak emosi dan kehendak dalaman mereka. Seorang guru di Sarawak juga menyuarakan tentang suasana kerjanya di salah sebuah sekolah membuktikan bahawa dalam era pemodenan pendidikan kini masih terdapat suasana tidak selesa pada tempat kerja guru. Apa yang digambarkan adalah isu kesepaduan guru dalam bilik guru, masalah kongsi meja dan penyediaan perabot yang tidak sesuai serta mencukupi. (Berita Harian, 19 Julai 2005). Hal ini menyebabkan guru ponteng daripada membebankan emosi dan perasaan mereka dengan tekanan.

 

Selain itu, antara faktor yang sering kita dengar sebab kepada guru ponteng ialah jarak sekolah dan keadaan persekitaran. Bagi guru yang mengajar di bandar-bandar dan di luar bandar, dan di pulau-pulau , guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya lawatan daripada pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti yang lebih awal daripada masa yang ditetapkan untuk tujuan tersentu seperti pulang untuk sambut perayaan dan cuti persekolahan. Masalah seperti ini terjadi pada guru yang berada di kawasan luar bandar atau pedalaman di Sabah dan Sarawak. Guru akan keluar pada sesi persekolahan untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan dan sebagainya. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya waktu rehat dan tidak ada kelas dalam jadual. Namun, guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai ponteng kerana tidak berada di kawasan persekooahan pada sesi persekolahan berjalan demi memenuhi keperluan peribadi.

Bagi mengatasi masalah ponteng di kalangan guru, pelbagai langkah boleh dilaksanakan oleh pihak pentadbir. Antaranya, pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah untuk mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka di sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi. Jika melalui perbincangan masih tidak dapat selesaikan masallah, pihak pentadbir perlu mengepuarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran kepada guru tersebut. Dalam sesetengah kes, guru tersebut akan kembali bertugas selepas mendapat surat amaran daripada pihak pentadbir. Namun, bagu guru yang tidak mengendahkan dengan amaran ini, pihak pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah tersebut kepada Lembaga Tatatertib selaras dengan peraturan 25(1) yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 Bahagian III.

 

Masalah yang sama turut berlaku Ranau, Sabah dimana Kementerian Pelajaran menerusi Jabatan Pelajran memandang serius isu ketidakhadiran guru di sekolah. (http://www.theborneopost.com/2011/12/24/guru-ponteng-isu-seriua/). Hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 buah sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 22 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 buah sekolah juga tidak hadir bertugas. Beliau menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya.

Hal ini jelas menunjukkan masalah guru ponteng  serinag berlaku terutamanya di Sabah. Bagi mengatasi masalah guru ponteng di kawasan pedalaman ini Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) mewujudkan satu lagi program iaitu program AKUN. Program ini bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru sekolah sekaligus memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir. Program ini bersifat serampang empat mata akan menekankan pemantapan kualiti perkhidmatan di peringkat sekolah yang menjadi cermin kejayaan dan pencapaian pendidikan sebenar.

 

Program e-Cerap dan e-Hadir membolehkan pemantauan kehadiran gru dan anggota kakitangan dokongan serta pelaksanaan proses pencerapan dilakukan secara online. Sementara pemantauan bersepadu san silang akan dapat menyelia pelbagai elemen di luar bidang masing-masing untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan termasuk ruang dan peluang kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) memantau semua sekolah di bawah kawalan masing-masing melalui pendekatan antara zon dan sekolah. Program AKUN ini juga memberi ruang dan peluang kepada pentadbir di sekolah dan PPD memberi khidmat serta bimbingan dengan lebih terus, bersepadu dan komprehensif. Program AKUN ini berlandaskan 5M fungsi iaitu Melatih, Membimbing, Memantau, Menilai dan Menambahbaik melibatkan empat tenaga bersepadu JPN/Ssektor, PPD, Pengetua/Guru Besar dan Guru.

 

3.0        IMPLIKASI HUJAH MENGENAI ISU

Implikasi guru ponteng ini melibatkan implikasi terhadap murid, sekolah, profesion perguruan dan ibubapa.

 

             i.        Murid

Murid akan mengalami masalah keciciran pelajaran apabila guru bertindak ponteng kelas. Terutamanya bagi mata pelajaran penting yang melibatkan peperiksaan UPSR akan memberi kesan negatif kepada murid. Murid akan ketinggalan pelajaran yang sepatutnya guru itu mengajar. Hal ini lebih serius bagi murid yang mempunyai tahap kognitif rendah. Mereka akan lebih jauh ketinggalan dalam proses pembelajaran. Tambahan, guru yang kerap ponteng kelas turut akan mengundang masalah disiplin di kalangan murid. Pelbagai masalah disiplin boleh berlaku jika guru tidak masuk kelas seperti melepak, vandalisma dan sebaginya. Murid turut akan ikut jejak sikap negatif guru yang suka ponteng dengan turut ponteng sekolah. Oleh itu, guru perlu ingat bahawa guru merupakan role model kepada murid. Maka jika guru ponteng, murid turut akan ponteng.

 

            ii.        Sekolah

Apabila masalah ini berlaku, secara tidak langsung keputusan peperiksaan akan merosot. Hal ini akan menjejaskan nama baik sekolah di samping terpaksa menjawab pelbagai soalan yang akan diutatakan oleh pihak atasan. Seterusnya pihak sekolah dan guru akan dibebankan dengan pelbagai program untuk membaiki dan memulihkan imej sekolah yang telah tercemar dan tercalar.

           iii.        Profesion Perguruan

Kesan tindakan daripada segelintir guru tadi akan mencemarkan nama baik profesion perguruan. Bukan murid sahaja yang akan memandang negatif, malah masyarakat akan turut menghukum guru-guru lain yang tidak berlasah akibat daripada kesalahan hanya guru tertentu sahaja. Hal ini akan menyebabkan masyarakat tidak yakin akan kemampuan guru untuk mendidik anak-anak bangsa dalam memperoleh kejayaan dalam hidup.

 

          iv.        Ibu bapa

Kesan daripada guru ponteng juga turut memberi kesan negatif kepada ibu bapa. Ibu bapa akan rasa kecewa apabila anak0anak mereka ketinggalan dalam pelajaran, tambahan apabila tahap pencapaian akademik mereka merosot. Mereka akan meletakkan kesalahan pada pihak sekolah. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih mempercayai guru tuisyen daripada guru di sekolah. Mereka lebih rela menghabiskan wang ringgit untuk menghantar anak mereka ke kelas tuisyen asalkan anak mereka memperoleh pelajaran yang baik.

 

 

4.0      RUMUSAN

Rumusannya, isu guru ponteng ini bukan sahaja melanggar etika profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi semua pihak sama ada murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan yang tegas dan pantas perlu dilaksanakn oleh pihak pentadbir supaya masalah guru ponteng ini dapat di atasi. Namun, sering kali pihak pentadbit terlewat dalam mengambil tidakan sehinggakan masalah ini menjadi semakin besar dan sukar untuk di bendung. Oleh yang demikian, perlu ada pemantauan secara bertarusan daripada pihak pentadbir dan jabatan untuk memastikan masalah ponteng di kalangan guru dapat dibendung.

No comments:

Post a Comment